Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Yaasin

Mengapa Yaasin begitu istimewa di hati ini. Kerana surah ini mengingatkanku akan seseorang. Seseorang yang entah mengapa amat aku rindui pada malam ini. Entah mengapa, mudah sahaja permata jernih itu gugur kala teringat akan insan yang telah pergi itu. Walhal selama ini aku begitu tenang. Tenang sahaja diriku ini bila wajah arwah menyapa minda. Entah mengapa hanya malam ini. Untuk malam ini aku benar-benar kerinduan.


Terbayang semua jasa yang telah beliau lakukan terhadap diri ini. Beliaulah guru. Beliaulah ibu. Beliau mengajar diri ini semua ayat-ayat dalam muqaddam al-Qur'an. Tanpa beliau, mungkin aku takkan menjadi diriku yang sekarang ini. Aku di sini atas didikan dan kata nasihat beliau. Aku rindu. Rindu yang teramat sangat. Bahkan sedangku menaip sekarang ini permata itu masih enggan berhenti. Deras mengalir.

Aku cuba untuk menghabiskan bacaan Yaasinku walau sekali. Namun gagal. Bacaanku terhenti pada ayat di atas itu. Hanya kerana ayat itu merupakan antara pengajaran terakhir yang sempat beliau titipkan padaku dan adik saudaraku. Tidak dapatku sambung bacaanku kerana sebak terasa begitu mencengkam di jiwa. Terasa menggigil bibir ini kala ingin menyambung baca ayat seterusnya. Sekali lagi kucuba habiskan bacaanku. Namun tetap gagal. Aku terhenti pada ayat yang satu itu. Entah mengapa malam ini ingatanku begitu kuat terhadap beliau. Tidak dapat aku tahan rasa hati ini.

Sebagai seorang muslim, aku tahu bahawa kita tidak seharusnya menggunakan perkataan 'kalau'. Kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa diri ini tidak redha dengan pemergiannya. Namun tidak dapat aku tepis rasa hati ini. Kalau sahaja itu... Kalau sahaja ini... Ada sahaja ayat yang bermula dengan kalimah 'kalau' dalam minda kala ini.

Masihku ingat lagi renungan terakhir beliau padaku. Sempat aku menyalami tangan beliau. Kukucup lama tangan tua itu. Beliau yang tidak elok penglihatannya merenung diriku lama sebelum tautan tangan kami akhirnya menjadi longgar. Dapat aku rasakan bahawa itulah renungan terakhir beliau buatku. Namun cubaku tepis rasa tidak enak dalam diri kala itu. Tapi takdir tuhan tak siapa yang tahu. Tak siapa yang dapat melawan kehendakNya. Siapa sangka, naluri hatiku berkata benar. Ianya tidak berdusta. Ternyata memang itulah kali terakhir aku menyalami tangan yang telah banyak berjasa pada diri ini. Ramadhan dan Syawal tahun ini semestinya bakal terasa begitu berbeza. Bukan sahaja pada diriku bahkan pada ibu jua... Tak perlu ke masa hadapan, aku sudah tahu. Tak perlu menangis hiba, kerana aku akan biarkan diri ini lemas dalam kesibukan sekolah...

29th July
20 Ramadhan

No comments:

Post a Comment

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;