Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Syafiqah

Sabda Nabi S.A.W, “Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya, jika tidak bisa maka dengan lisannya, jika tidak bisa juga maka dengan hatinya, dan (orang-orang yang membenci sesuatu kemungkaran itu dengan hati mereka) itulah (yang mempunyai) selemah-lemah iman.”
Air mata Adira menitis tatkala mengingati kembali hadith sahih yang dipelajarinya sewaktu dia menuntut di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dahulu. Walaupun hadith ini dia pelajari sewaktu di menengah dua, namun ia tetap melekap kemas di benaknya hingga kini. Mungkin berkat hormatkan guru yang mengajarnya, dia dapat mengingati hadith-hadith nabi yang diajarkan di sekolah. Ah... Betapa Hadith ini mengingatkannya akan dirinya kini. Lemah. Itulah Nadia Adira Binte Qahir.
***
“Awak dari sekolah mana dahulu?” tanya Syafiqah.
Adira menoleh wajah temannya di sisi. “Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah. Awak?” Memang Adira gemar menggunakan nama penuh sekolahnya. Mengapa harus menggunakan istilah ‘private school’ atau ‘islamic school’ kalau sekolah kita ada nama?
Kening Syafiqah berkerut sedikit, berfikir barangkali. “Maksud awak, sekolah yang ada lapan tingkat tu?” tanya Syafiqah lagi.
Adira angguk.
“Oh... Saya dahulu bersekolah di sekolah menengah Bartley. Kalau begitu... awak tak ada aktiviti kokurikularlah ya?”
Adira tersenyum simpul mendengar kata temannya. “Tak ada. Kenapa? Pelik sangatkah?”
“Ruginya awak...” ujar Syafiqah seakan mengasihani diri Adira.
“Kenapa rugi pula?” Bukannya aku hilang duit atau pahala, tambah hati Adira.
Syafiqah tersenyum, tidak berniat mahu menjawab pertanyaan Adira. Sekali pandang, senyuman itu kelihatan seakan senyuman biasa sahaja namun apabila dilihat kembali, senyuman itu senyuman sinis. Adira sekadar membalas senyuman teman yang baru dia kenali itu dengan seikhlas mungkin.
“Adik sepupu saya baru masuk sekolah lama awak tu. Darjah satu,”
“Habis tu?” tanya Adira. Dari cara perbualan Syafiqah itu, seperti ada maksud yang ingin dia sampaikan.
“Tak ada apa la. Saya cuma rasa yang makcik dan pakcik saya tu bodoh sebab hantar anak mereka ke madrasah. Alasan mereka, mereka mahu lihat anak mereka menjadi seorang mufti. Bukankah itu alasan yang karut sama sekali? Semua orang boleh jadi muftikah?!” Syafiqah kemudiannya tertawa sinis.
Adira tersentak mendengar kata-kata yang baru terluah dari mulut kawannya itu. Sungguh dia terkedu! Tidak tahu mahu beri jawapan yang bagaimana. Yang dia pasti, hatinya teramat sedih kala mendengar kata-kata yang tajam menikam hati itu. Sanggup kau kata begitu tentang sekolahku? Tidak hormat sedikitpun terhadap diriku mahupun sekolah lamaku! Tiba-tiba Adira teringat pesana guru Bahasa Melayunya di sekolah, “Seseorang itu boleh jadi melayu, tetapi bukan muslim. Mereka boleh mengaku diri mereka melayu tapi awak jangan terkejut kalau mereka kata yang mereka pernah minum arak! Kelak jikalau awak diterima masuk ke institusi pengajian tinggi, macam-macam jenis manusia yang akan awak lihat. Oleh itu, tingkatkanlah iman awak setinggi yang awak mampu. Ingat! Iman seseorang itu bak air di laut... Ada pasang dan ada surutnya,”
“Betullah! Macamlah semua orang tu boleh jadi mufti!” entah mengapa mulut Adira hanya mampu setuju dengan kata temannya. “Kau kata makcik dan pakcik kau sendiri bodoh. Anak saudara jenis apa kau ni?! Aku harus berteman dengan orang beginikah sepanjang tiga tahun menuntut di Politeknik Republik ini?! Ya tuhan... berilah aku kekuatan dan ketenangan hati,” bisik hati Adira.
“Jadi mufti bukannya senang. Hanya satu dalam sejuta orang sahaja yang layak menggendong jawatan tu. Nah! Bukankah itu namanya kerja gila? Hantar anak ke madrasah semata untuk melihat dia menjadi mufti? Huh! Kolot sungguh pemikiran mereka!” ujar Syafiqah lagi.
“Yalah. Kolot,” jawab Adira bernada rendah, hampir tak kedengaran. Kesian makcik dan pakcik kau dapat anak saudara yang macam kau ni. Nasib baik kau bukan anak mereka. Sebenarnya pada aku, kaulah yang bodoh! Jahil! Tak pernah terfikirkah engkau bahawa sekurang-kurangnya, dengan menghantar anak mereka ke madrasah, anak itu akan membesar menjadi seorang anak yang soleh? Anak yang mampu mendoakan kesejahteraan ibu bapanya apabila mereka pulang kepada-Nya nanti. Bukan macam kau! Aku rasa nak baca Al-Fatihah pun kau tak tahu agaknya. Eh, jangankan surah Al-Fatihah, entah-entah surah Al-Kausar sebanyak tiga ayat pun kau tak boleh nak baca. Kasihan sungguh ibu bapa kau mendapat anak seperti kau. Hisy! Kau ni Adira! Bukannya nak doakan Syafiqah... Mengutuk dalam hati lagi ada.
“Awak minum?”
Adira yang tadinya berkhayal sedikit tersentak dengan pertanyaan Syafiqah. “Minum? Saya minumlah. Minum air,” Tak nampak ke aku yang ayu bertudung depan kau ni? Minum? Huh. Kalau air syaitan yang merosakkan badan tu adalah air yang kau maksudkan, sorrylah ye! Aku sayangkan tubuhku!
“Too bad. You’re missing the fun,”
Adira sekadar tersenyum kemudian mengilas jam tangannya. “Eh, saya pergi dululah ya. Nak jumpa kawan saya dahulu,”
Tanpa menunggu jawapan Syafiqah, Adira menonong pergi meninggalkan Syafiqah seorang diri.
***
“Apa kau menungkan tu?” Lina menguis bahu Adira yang sedari tadi mengelamun jauh di tempat duduknya.
“Kalau orang lain mendiskriminasi sekolah lama kita, apa yang akan kau buat?” tanya Adira tanpa berdolak-dalik.
Lina mengambil tempat di hadapan Adira. Keadaan kantin yang bising itu tidak langsung mengganggu perbualan mereka berdua. “Kenapa kau tanya? Bunyi macam serius aje,”
“Aku seriuslah ni!” Bila aku serius kau kata aku main-main, bila aku main-main kau anggap aku serius pula! Minta kena cekik la Si Lina ni...
“Balas baliklah!”
Berkerut kening Adira mendengar kata Lina. “Balas balik?”
Lina menjulingkan mata ke siling. “Let me guess... Kawan kau kata yang madrasah ni tak guna? Pelajar madrasah ni semua antisosial? Dia orang tanya pasal tudung kaukah? Sebab kenapa kau bertudung?”
Adira angguk. “Course aku cuma ada 6 orang melayu aje. Dalam mereka berenam, aku seorang yang mengenakan tudung. Semalam kita orang balik dengan kawan-kawan Cina kita. Lepas tu ada seorang daripada mereka yang tanya aku kenapa aku pakai tudung,” kata-kata Adira terhenti seketika. Tidak tahu bagaimana mahu menyambung bicara.
Lina menjungkit sebelah kening. “Habis tu apa yang kau jawab?” Lina kelihatan seolah tidak sabar mahu mendengar jawapan dari mulut temannya itu.
“Aku tak jawab,” ujar Adira pendek.
“Tak jawab?! Kenapa kau tak jawab?!” Minta kena smack betullah kawan aku yang seorang ni...
Adira merengus. “Bukan aku tak nak jawab. Cuma Syafiqah dah jawabkan,”
“Dari suara kau macam ada yang tak kena aje. Apa yang Syafiqah jawab?”
Adira menggigit bibir bawahnya. “Dia cakap pakai tudung is optional. Lepas tu dia cakap mungkin bila dia dah 30 tahun gitu baru dia akan pakai tudung,”
Lina membeliakkan matanya. “Optional?!” jerit Lina dengan suara high pitchnya. “Dah tu kau diamkan aje?” tanya Lina tidak berpuas hati.
Adira mengangguk lemah. “Aku tak sekuat yang kau sangkakan, Lina. Lagipun kita tak boleh nak salahkan Syafiqah sepenuhnya. Dia tak tahu hukum-hukum yang ditetapkan dalam islam. Mungkin mak bapak dia tak hantar dia ke madrasah separuh masa. Sebab tu dia tak tahu...” lirih sekali suara Adira.
“Tapi kita ni bekas pelajar madrasah! Sebagai orang yang dah tahu, kau sepatutnya betulkan tanggapan dia tu!” Lina sengaja menekankan perkataan ‘dah’ dalam bicaranya. Sekali lagi Adira seakan kehilangan kata. Rasa bersalah menyelubungi diri.
“Lina... Aku dah rasa cukup bersalah sekarang ni. Aku tak perlu kau untuk tambah lagi rasa bersalah aku!” Adira seakan mahu menangis kala itu jua.
“Okey, okey... Aku minta maaf. Jadi apa yang akan kau buat sekarang ni?”
“Kalau kau, apa yang akan kau buat? Maksud aku, kalau pun aku betulkan tanggapan Syafiqah tu, pasti ada orang lain di luar sana yang akan menyalah anggap dan menyalahertikan penggunaan tudung ni. Banyak lagi manusia ‘sespesies’ dengan Syafiqah di luar sana tu,” Mulut Adira memuncung ke arah pelajar-pelajar yang berjalan di laluan pejalan kaki Politeknik Republik. “Mungkin banyak juga orang-orang berlainan agama yang telah diberi penerangan yang salah oleh orang-orang seperti Syafiqah. Aku tahu akan hakikat itu, tapi entah mengapa, hati aku ni jadi sedih bila terkenangkan hal itu. Padahal sudah terang lagi bersuluh yang ilmu agama dia tu begitu cetek. She doesn’t even have basic islamic knowledge and yet she talks as if she knows!” suara Adira mulai meninggi. Jelas di pandangan Lina yang temannya itu sedang marah. Mungkin marahkan ibu bapa Syafiqah kerana gagal mendidik anak mereka dengan ajaran islam. Mungkin juga marah pada diri sendiri kerana gagal menyuarakan rasa hatinya yang sebenar pada Syafiqah.
“Kalau aku, aku akan berdepan dengan dia dan beritahu salah dia,” ucap Lina tenang.
Adira mengecilkan matanya. Tiba-tiba datang idea untuk menyedarkan orang orang di luar sana. “Why confront her alone when I can reach out to all parents out there?!” Adira kelihatan bersemangat kala itu.
Lina membetulkan duduknya. “I know that look on your face. Idea gila apa pula yang akan kau datangkan kali ini?” Lina kenal benar dengan Adira. Temannya itu kalau dah senyum bagai orang dilamun cinta, pasti ada idea karut yang baru masuk dalam kepala otak dia...
“Aku. Akan. Pastikan. Cerita. Aku. Diterbitkan!” ucap Adira sepatah-sepatah.
“Cerita apa?” Naik cuak Lina dengan lonjakan emosi temannya itu. Sekejap sedih, kemudian marah, kini bersemangat pula!
Mulut Adira berdecit. “Kau ni lembaplah! Aku akan karang sebuah cerita dan hantar pada pihak penerbit. Hanya dengan cara itu aku dapat pastikan yang ibu-ibu dan ayah-ayah dapat dengar suara hatiku. Mereka punya tanggungjawab untuk mendidik anak mereka agar menjadi insan berguna bukan sahaja dari segi akademik malahan dalam bidang ukhrawi juga!”
“Pada siapa kau nak hantar cerita kau tu?” tanya Lina, ingin tahu.
“Berita Harian?” Adira menjawab kurang pasti.
Lina mengeluh. “Kau pasti masyarakat melayu kita kini akan baca apa yang kau karang?”
“Maksud kau?”
“Yalah... Aku beri kau satu contoh. Abang sepupu aku. Dia ada anak luar nikah. Belajar pun setakat N-Levels aje. Bagi orang-orang macam mereka ni, ilmu dan pelajaran tu tak penting! Mereka tak akan sentuh pun akhbar Berita Harian,”
Kali ini Adira pula melepaskan keluhan berat. Matanya tidak lagi bercahaya seperti tadi. Tidak dia nafikan, ibu bapa muda zaman ini lebih pentingkan hiburan dan kerja mereka sendiri daripada mendidik anak. Terkadang tugas mendidik anak itu diletak pada pundak mak ayah mereka. “Sekurang-kurangnya, mak ayah abang sepupu kau tu dapat menasihati anak mereka kalau mereka terbaca kisahku. It’s better than not being heard at all, right?
Lina kemam bibirnya. “Aku ada satu lagi soalan buat kau,”
“Apa dia?”
“Siapa yang kau salahkan dalam hal ni?” Tanya Lina, serius.
Berkerut kening Adira memikirkan soalan Lina. “Salahkan?”
“Kau salahkan mak bapak Syafiqah atau diri Syafiqah sendiri?”
“Entahlah... Jawapannya aku sendiri tak pasti Lina...” jawab Adira.

1 comment:

  1. selalu baca cerpen n novel, tgk filem, nama "syafiqah" biasa watak protagonist. jarang baca watak "syafiqah" as antagonist..sedih plak tetiba sebab my name is syafiqah..satu persamaan maybe orang yang nama syafiqah ni agak sinis..tapi tak pe banyak lagi syafiqah n setiap syafiqah ada perangai masing2

    ReplyDelete

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;