Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Bahagian 5

Kesetiaan Ariana

Ariana menaikkan suara radio kepada yang terkuat. Suara deejay Adi Rahman yang berkumandang di corong radio tidak langsung menghilangkan rasa gusarnya terhadap sikap jejaka di sebelahnya. Tersentak Faiz seketika. Tangannya semerta memperlahankan suara radio tersebut. Faiz toleh ke arah Ariana di tempat duduk penumpang. Pekak kapeh lipas seekor ni?


"Saya tak tahu pulak lipas pekak," ujar Faiz menahan senyum. Matanya dihala ke arah jalan raya semula. Tangannya memegang stereng kereta dengan kejap. Tidak mahu terlibat dalam kemalangan. Dia tahu Ariana bengang dengan tindakannya namun keadaan mendesak dirinya melakukan sedemikian.

"Pandai saja pak sakat ni buat andaian!" gerutu Ariana. Dia hanya menjeling Faiz. "Untuk pengetahuan awak, lipas memang pekak. Mereka hanya dapat mengesan getaran angin dan bumi sahaja melalui bulu yang terdapat di badan mereka!"

"Oh, awak dah jadi pakar lipas lah sekarang ni?" giat Faiz menyemarakkan lagi api kemarahan Ariana.

"Awak nak bawa saya ke mana ni?!" ucapnya tanpa menghiraukan usikan Faiz tadi.

"Kalau awak berani culik saya, siaplah saya tibai awak. Jangan pandang saya sebelah mata tahu! Saya ada black belt!" ujar Ariana cuba menutup resah hati. Cuak juga dia akan tempat yang akan dibawa Faiz.

Senyuman Faiz meleret mandengar kata Ariana. Tahu pon takut... "Awak akan tahu sekejap lagi..."

Terbuntang mata Ariana saat kereta mewah Faiz memasuki kawasan perumahan elit di Yio Chu Kang. Deretan rumah di situ semuanya menangkap minatnya. Ada yang bertemakan moden, tidak kurang juga mereka yang memilih kontemporari. Kereta Faiz membelok masuk ke sabuah rumah. Tangan Ariana tak semena-mena menggenggam telefon bimbit di dalam beg dengan erat. Bersedia mendail nombor 999 sekiranya Faiz berkelakuan pelik. Nasib dia sempat mencapai beg tangannya di belakang kereta tadi.

Faiz melangkah keluar. Ariana hanya menurut. Di hadapannya kini adalah teres tiga tingkat yang tersergam indah bertema campuran kontemporari dan moden. Terdapat sebuah gazebo kecil di sebelah rumah itu. Di dalamnya tersedia sebuah meja dan beberapa kerusi kayu jati. Sesuai buat minum petang bersama keluarga. Sebuah kolam kecil terdapat di sebelah gazebo tersebut serta beberapa ekor ikan koi. Mengindahkan lagi pemandangan petang itu.

"Rumah siapa pulak yang pakcik tua ni bawa aku?" terbetik soalan itu di benak Ariana. Dalam diam dia mengagumi keindahan rumah yang teratur kemas.

Dia menjungkit kening pada Faiz yang baru mengunci kereta. Kereta Faiz diparkir di hadapan rumah tersebut. Ditoleh ke arah pintu pagar yang kini sudah tertutup secara automatik.

"Jangan risau, saya tak ingin nak culik awak. Lagipun di negara Singapura yang kecil ini, saya pasti takkan dapat lari dari tertangkap polis kalau saya menculik orang... Tak gitu, cik lipas?" ujar Faiz lalu melangkah mendekati pintu masuk dengan selamba tanpa mempelawa Ariana sama.

Ariana yang tercegat di sebelah kereta Faiz hanya membatu. Nak keluar, pintu pagar dah tertutup.

Tiba-tiba keluar seorang wanita dalam umur 60-an tahun dari rumah tersebut menyambut kepulangan Faiz. Faiz bersalaman sebelum membisikkan sesuatu di telinga wanita itu. Muka wanita itu jelas berubah. Namun seketika cuma. Dia kemudiannya mendekati Ariana dengan sebuah senyuman terukir di bibir. Ariana lantas menyalami tangan tua yang berkedut itu.

"Apa khabar nak? Jemput masuk," ucap wanita itu. Mukanya tampak muda cuma kedut di tangan yang menunjukkan dirinya dimamah usia.

"Sihat, cik," Ariana senyum seikhlas mungkin pada wanita tersebut. Mindanya sedikit berserabut memikirkan keadaan dirinya tika itu. SAH! Ini pakcik memang nak kena penangan dari aku!


Melihatkan Ariana yang sedikit janggal bersamanya membuatkan wanita tersebut menarik lengan Ariana melangkah masuk ke rumah itu. Sekali lagi mulut Ariana terlongo. Silap hari bulan, jangan kata lalat yang masuk, segala macam spesis kumbang yang bakal bertepek dalam mulutnya itu!

"Ini rumah atau istana?" bisik hati kecil Ariana. Matanya beralih dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Siap ada lilin lagi di meja makan. Bagi seorang wanita berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana, rumah yang dijejakinya kini persis bak istana! Keluarganya tidak mampu untuk memiliki kekayaan sebegini. Sebahagian besar wang gajinya akan digunakan bagi menampung perbelanjaan sekolah adik-adiknya yang kini meningkat remaja.


Serasa berada di alam yang lain tika kakinya mejejak masuk ke rumah nan indah itu. Dia dijemput masuk dengan bau-bauan yang harum lagi menyegarkan. Ariana terpegun seketika sebelum tangannya sekali lagi ditarik lembut oleh tuan rumah.

Dia duduk di kerusi makan. Di hadapannya terdapat seorang wanita yang mungkin sebaya dengannya merenungnya tajam. Seakan tidak suka akan keberadaannya di situ.


"Hmph! Bukan aku nak pun berada di sini! Aku kena seret, tahu?!" namun kata-kata itu bagai tersekat di kerongkong.

"Anak ni, siapa namanya?" soal tuan rumah.

"Ariana, cik. Panggil Yana cukup," jawabnya sopan.

"Ooh, nama makcik, Ezzati. Panggil cik Ati sahaja," sejurus berkata demikian, diri Ariana direnung dari atas hingga bawah. Ariana yang perasan akan renungan itu hanya tertunduk malu. Serupa berjumpa mak mertua lagaknya! Dia tersipu-sipu malu. "Eh, maafkan makcik. Makcik tak berniat nak buat anak tak selesa. Cuma makcik hairan... " ucapan cik Ati terhenti sebentar kerana seorang wanita bertudung datang membawa minuman untuknya. Dari raut wajahnya, serupa orang Indonesia. "Terima kasih, bik. Bik, hidangkan makanan ya. Iz pon dah pulang tu. Ada di atas tengah mandi barangkali..." ucap cik Atu pada wanita itu.

"Cis, aku dok tercegat macam orang bodoh kat sini... Engkau boleh sedap-sedap aje mandi... Huargh! Sebelum aku jadi incredible hulk, lebih baik kau hantar aku balik!!! Aku pon nak mandi dan tiduuur~! Waktu ofis aku dah habis tahu!!!" bentak hati Ariana geram.

Cik Ati berkalih pandang pada Ariana. "Cik cuma hairan... Si Iz tu tak pernah bawa pulang mana-mana perempuan sebelum ini untuk berkenalan dengan cik. Ini tup-tup dah ada. Haiz..." Ariana dapat mengesan perubahan suara cik Ati. Ada kekesalan terselit di situ. Belum sempat Ariana berkata apa-apa, cik Ati terlebih dahulu mamandang wanita berkulit putih gebu di hadapannya.

"Seha, makcik minta maaf sangat. Nampaknya cik dah silap menduga hati anak cik sendiri," kata cik Ati pada wanita yang tadinya merenung Ariana bagai nak ditelannya hidup-hidup.

"Tak apa cik. Seha faham... Abang Faiz mungkin tak perlukan Seha dalam hidupnya. Mungkin dah takdir. Dah termaktub dalam loh mahfuz. Seha bukan untuknya. Bukan dahulu, bukan juga sekarang. Apa nak buat..." kesedihan terpamer di raut wajahnya. Ariana dapat rasakan yang Seha dan Faiz telah lama berkenalan. Kalau tak, masakan dia akan membahasakan diri Faiz sebagai 'abang Faiz'.

"Errr... Sebenarnya saya... Saya buk..." tergagap Ariana dalam tutur katanya. Dua pasang mata kini tertumpu padanya. Lidahnya kelu. Tidak tahu bagaimana harus dia jelaskan salah faham yang berlaku di depan matanya kini. HOI PAKCIK!!! TURUN SEKARANG!!!



Bagaikan terdengar suara hati Ariana, Faiz pun turun setelah lengkap berpakaian. Dia kelihatan lebih kasual dengan t-shirt polo hijau lembut serta track pants bewarna hitam pekat. Bagus, cepat pulak kau mandi... Jangan-jangan mandi P.Ramlee tak? Bersihkan tahi mata aje...

"Ibu, ini Iz kenalkan... Cik lipas! Rakan baru Iz," ucap Faiz dengan senyuman menghiasi bibir. Tidak dia hiraukan mata Ariana yang terbuntang keluar memandangnya tidak berkelip. Sengihannya makin melebar saat dilihat Ariana terpaksa memaniskan muka apabila ibunya memandang wajah gadis itu.


"Rasakan kau... Tadi sembur aku dengan spray kan... hihihi!" Faiz ketawa senang dalam hati.

1 comment:

  1. just found this blog/story, nicely done,not too much pic,think i'm gonna luv this :)

    ReplyDelete

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;