Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Bahagian 23

Kesetiaan Ariana


"Yana... Jangan macam ni sayang..." pujuk mak Lijah. Sejak jasad Aril diusung keluar dari flat Ariana dan Faiz, anaknya itu kelihatan tidak bermaya. Dalam perjalanan pulang dari perkuburan pun, Ariana diam membisu. Ariana seolah-olah telah hilang kudrat untuk meneruskan hidup. Setibanya di rumah, Ariana memerap di dalam bilik.

Mak Lijah setia di samping Ariana. Cik Ati dan Faiz menguruskan tetamu yang hadir di luar. Selang beberapa jam, pintu bilik Ariana terkuak. Wajah Faiz muncul di sebalik pintu. Faiz melangkah masuk. Dilihatnya Ariana sedang nyenyak tidur lalu dia pun bersuara dengan nada yang perlahan, "Ibu, pergilah makan di luar. Biar Iz yang jaga Yana,"

"Terima kasihlah, Iz. Ibu harap kamu berdua tabah menempuhi semua ini," nasihat mak Lijah pada menantu sulungnya. Faiz sekadar mengangguk. Baru beberapa tapak mak Lijah melangkah, kedengaran suara nyaring Ariana memaki hamun Faiz.

"Jantan tak guna! Kau yang buat Aril mati! Aku takkan sekali-kali maafkan kau!" jerkah Ariana seakan sudah dirasuk.

Mak Lijah tidak jadi meneruskan langkah. "Astaghfirullah, Yana! Mengucap nak!" Mak Lijah yang kini bersebelahan Ariana menahan anaknya dari menyerang Faiz. Namun percubaan mak Lijah tidak berhasil. Ariana yang tadinya kelihatan lesu kini menjadi kuat melawan mak Lijah. Mak Lijah tiada kudrat menahan Ariana. Ariana berhadapan dengan Faiz lalu menumbuk-numbuk dadanya dengan kuat. Faiz cuba menangkap tangan halus itu dari hinggap ke tubuhnya. Setelah berjaya mencapai tangan Ariana, digenggamnya dengan erat agar tidak terlepas.

Faiz cuba menenangkan Ariana namun dia naik berang saat Ariana tidak henti-henti melemparkan kata-kata kesat padanya. "Liyana Ariana!" jerit Faiz. Ariana terdiam dengan suara Faiz yang bagai halilintar.

"Saya boleh terima awak mencaci-maki diri saya. Tapi saya tak boleh terima kalau awak menyalahkan diri saya!" Faiz berhenti seketika. Pilu rasa hati apabila dia dianggap sebagai punca utama kematian Aril. "Ya! Memang saya akui saya gagal mengawasi Aril... Tapi... Punca utama Aril tidak dapat diselamatkan ialah kerana ketumbuhan otak yang dialaminya! Tiada siapa yang tahu itu bukan?" Faiz bersuara dalam nada yang tertahan.

"Ketumbuhan otak? Apa maksud awak?" soal Ariana, tidak mampu berfikir dengan jelas.

"Doktor mengesahkan ada ketumbuhan di kepala Aril. Tumor di kepala Aril menekan otak Aril sekaligus menyebabkan pendarahan berlaku saat kepalanya terhantuk kuat pada pokok. Impak yang diterima Aril sangat kuat. Lokasi tumor yang dekat dengan bahagian hentakan serta tekanan tumor di otak Aril telah menyebabkan pembuluh darah di kepala Aril pecah," Ariana terduduk di birai katil saat mendengar punca kematian Aril dari mulut Faiz. Tumor. Hentakan kuat. Impak. Satu-persatu ayat Faiz cuba difahamkan namun saat itu, dia sedar bahawa semua ini bukan salah Faiz, tetapi salahnya!

"Aril sayang... Cepat sikit! Mama dah lambat ni," ujar Ariana dari dapur.

Wajah Aril terjengul di pintu dapur. "Mama... Mama, kepala aril peninglah ma," adu Aril pada mamanya.

"Alah, pening biasa barangkali... Aril pergi makan dulu. Nanti bila dah isi perut, pasti hilang pening," nasihat Ariana. Aril akur dengan perintah mamanya lalu menuju ke meja makan. Dikunyahnya sekeping roti bakar yang disediakan Ariana. Ariana tidak mengesyaki apa-apa pada ketika itu.

"Aku seharusnya beri perhatian serius pada Aril. Mama jenis apa aku ini?!" marah Ariana pada diri sendiri.

"Yana!" Mak Lijah menggoncang bahu Ariana dengan kuat. Ariana dilihatnya memandang Faiz dengan pandangan yang kosong. Sukar dimengertikan apa yang bermain di benak Ariana tika itu.

2 comments:

  1. next n3 pless...best sgt.nk tahu kesudahanyaa...

    ReplyDelete

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;