Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Bahagian 18

Kesetiaan Ariana

"Papa, papa bangunlah!" rengek Aril. "Aril nak main dengan papa..."

Faiz membuka mata perlahan-lahan. Sinar cahaya matahari yang memancar masuk ke dalam bilik menyukarkannya membuka mata dengan luas. Faiz tersenyum melihat Aril di sebelahnya. Entah mengapa, perasaan gembira menyusup masuk ke segenap sanubarinya dengan kehadiran Aril.

"Hari ini awak tak kerjakah?" soal Ariana pada Faiz. Ariana sedang sibuk menyediakan sarapan pagi buat mereka sekeluarga. Dirinya terasa janggal dengan kehadiran Faiz. Bahkan dia masih memakai tudungnya ketika Faiz berada di rumah. Berbual pun menggunakan 'awak' dan 'saya'. Kadangkala panggilan 'encik' meniti di bibir Ariana tanpa disengajakan saat memanggil Faiz. Tidur pun di bilik yang berasingan. Ooops. Mereka bukan kahwin kontrak... Cuma sahaja masing-masing selesa dengan keadaan begitu jadi...

"Mari sini papa suapkan Aril ya," Faiz menyuakan sekeping roti ke dalam mulut Aril tanpa menghiraukan pertanyaan Ariana.

Aril ketawa sebelum membuka mulut. Dirinya kelihatan sungguh ceria pagi itu. Ariana gembira melihat Aril sebegitu. Itulah yang diharapkannya saat berjanji dengan temannya Asiah yang dia bakal menjaga Aril seperti anaknya sendiri. Dia ingin menceriakan hari-hari Aril sebagaimana Asiah gembira menempuh hari-hari terakhir hidupnya.

Tanpa disedari, teko teh di tangannya terlepas dari genggaman. Air di dalamnya tumpah mengena kaki Ariana. Ariana menyeringai kesakitan akibat tumpahan teh panas di kakinya. Faiz yang duduk berdekatan tersentak dengan bunyi kaca yang jatuh berderai. Dia berhati-hati mendekati Ariana kerana ingin mengelakkan kakinya dari terpijak kaca. Tubuh Ariana dicempung ke bilik air. Dibilasnya kaki Ariana dengan air sejuk. Tangan Ariana lantas mencapai ubat gigi Colgate dan ingin disapunya ke kaki namun lekas-lekas Faiz menghalangnya dari bertindak sedemikian.

"Jangan," tegah Faiz. "Menyapu ubat gigi untuk menghilangkan rasa pedih di kaki bukanlah cara yang betul dalam situasi sebegini. Itu adalah cara yang salah. Ianya hanya akan menambah rasa perit akibat lecuran itu. Ramai orang menganggap ianya cara yang betul walhal sebaliknya," terang Faiz. Ariana terpegun mendengar penjelasan Faiz yang begitu teliti. 

"Agaknya kerana itulah dia berjaya menjadi boss," teka Ariana. "Habis tu sampai bila kena bilas kaki saya dengan air?"

"Sampai sakit tu dah tak terasa lagi," Ariana terharu melihat kesungguhan Faiz tika itu.

Pang! Bunyi kaca jatuh berderai di lantai mematikan lamunan Ariana. Perasaan cemas semerta bermukim di dada. Aril! Ariana ingin bangun dari pangkuan Faiz namun sekali lagi dirinya dihalang.

"Duduk sini diam-diam. Bair saya yang tengok," ujar Faiz. Ariana tetap berdegil. Beberapa saat setelah Faiz menghilang, dia turut serta bangun melangkah ke ruang tamu.

"Ya Allah, Aril! Kenapa boleh jadi begini ni?" soal Ariana cemas melihat Aril yang terluka di tangan. Pada waktu yang sama, Faiz mendekati mereka. Di tangannya terdapat kotak first aid.

"Aril... hu hu... Aril cuma... nak tengok TV. Tapi Aril terlanggar pasu di tepi tu... huhu... Lepas tu.. huhu...Aril cuba nak kutip kaca. Nanti mama dan papa marah Aril... huhu.. Aril tak nak balik kat tempat sana lagi! huhu.. Aril nak duduk di sini dengan mama dan papa! huhuhu..." tangisan Aril semakin kuat. Ariana sebak mendengar pengakuan Aril tulus dari mulut kecil itu. Sebak dadanya menahan pilu. Pentas dipeluknya Aril yang masih menangis teresak-esak.

"Shhh... Sudahlah tu. Sayang... Aril tak sayang mama ke? Aril nak pisah dengan mama dan balik ke rumah tumpangan Pertapis tu ke?" soal Ariana.

"Sayang... Aril sayang mama. Sayang papa,"

"Kalau Aril sayang... Aril jangan sebut lagi pasal balik ke rumah tumpangan tu lagi, boleh?" pinta Ariana. Dia benar-benar berharap ini kali terakhir Aril akan bangkitkan hal sebegitu. Tak sanggup rasanya untuk berpisah dengan Aril. Sayangnya pada Aril sudah tersimpul mati.

"Muhammad Faiz Bin Khalid! Saya nak awak tolong saya alihkan segala benda yang merbahaya dan letakkannya di tempat yang selamat bagi Aril," tegas Ariana. Terjungkit kening Faiz mendengar arahan Ariana. Ariana melangkah dengan pantas dari satu sudut rumah itu ke sudut yang lain. Kakinya yang sakit tidak dipedulikan. Peritnya sudah tidak terasa. Yang ada di mindanya tika itu hanya keselamatan Aril.

"Tempat yang selamat?" Ariana mengangguk mengiakan kata Faiz. "And just where might that be, cik lipas?" sambung Faiz.

"Oh for god's sake! I don't know! Just. Somewhere safe!" lantang Ariana bersuara, terlupa sebentar yang berdiri di hadapannya kini adalah seorang yang telah menjadi suaminya.

"Hehe!" Faiz ketawa. Tawa yang kedengaran seperti mengejek di telinga Ariana. "Boleh tak awak bawa bertenang sedikit? Itu cuma perkara kecil sahaja. Budak-budak mestilah lalui semua itu. Baru mereka tahu apa itu sakit,"

"Perkara kecil awak kata?" Ariana bersuara seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya.

"Nanti dulu... Sabar... Bukan itu maksud saya," Faiz cuma menerangkan maksudnya.

"Habis kalau bukan itu, apa lagi?"

"Maksud saya ialah sebagai ibu, awak tak boleh nak lindungi Aril dari semua benda. Manusia perlu merasa kesakitan... Barulah kita dinamakan manusia,"

"Tapi Aril... Dia masih budak lagi! Jadi wajarlah sekiranya saya sebagai ibu melindungi anaknya!" Ariana masih tidak mahu mengalah.

"Tapi awak lindungi dia atas sebab yang salah,"

"Maksud awak?"

"Maksud saya, kalau ada orang yang nak culik dia atau bunuh dia barulah awak mainkan peranan sebagai seorang ibu untuk lindungi anaknya. Tapi kalau atas sebab tercedera akibat luka sekecil itu, saya rasa tak munasabahlah alasan awak tu," jelas Faiz. Tatkala melihat air muka Ariana berubah pucat, tahulah dia yang dia telah tersilap dalam memberi contoh. Lantaran itu, dengan segera dia menukar tajuk perbualan mereka sebelum sampat Ariana membuka mulut. "Hari ini kita akan ke Sentosa. Awak siapkan barang-barang yang patut dibawa. Beg saya dah sedia. Yang tinggal cuma barang-barang awak dan Aril sahaja," ayat Faiz membuatkan Ariana tersentak. Sentosa?


"Kenapa kita kena pergi ke pulau Sentosa pula?" soal Ariana bak orang bodoh.

"Untuk 'honeymoon'lah," Faiz mengenyit mata nakal pada Ariana. Semerta muka Ariana terasa panas. Kenapa dengan aku ni? Darah terasa naik menyerbu ke muka. Pipinya merona merah dengan apa yang didengarinya namun cepat-cepat dia mengusir perasaan halus yang perlahan-lahan menjalar dalam diri.

"Tak naklah saya!" dengan cepat Ariana membantah.

"Kalau begitu awak jawablah dengan ibu saya,"

"Ibu awak? Apa kena-mengena dengan ibu awak pula?"

"Dia yang beria-ia memaksa kita ber'honeymoon'," selamba Faiz menjawab.

"Kenapa awak tak tolak sahaja?"

"Tolak? Hey! Buang tabiat apa? Tiket ke universal studio dan tiket penginapan dah ada di depan mata. Mana boleh kata tidak. Tambahan pula ibu hadiahkan $5000 untuk kita, tahu? Honeymooooooon! Here I come!" teriak Faiz dengan mata yang bercahaya seakan budak yang baru mendapat gula.


Ariana terpegun melihat sikap yang tidak pernah ditonjolkan Faiz padanya sebelum ini. Dalam hati sedikit gerun mendengar Faiz sebut perkataan 'honeymoon'.

"Ouh, lima ribu dolar..." Ariana tersengih bak kerang busuk. "APA?! Li... li... lima apa? LIMA RIBU DOLAR?!"

No comments:

Post a Comment

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;