Heads up! Blog contain posts from ancient civilisation. They remind me of different chapters in my life - the good & the bad.

"Penulisan akan matang seiring usia." - Mdm B.

Mimpi


buat seketika
izinkanku mengingatimu
walau hanya dalam mimpiku
biarpun sekadar bayangan
buat diri si perindu...

Sedari tadi Ilham mencari Zafira. Namun kelibatnya tidak kelihatan. Sudah lama dia tiba di sekolah kebangsaan Dang Wangi. Riak mukanya jelas terpancar kerisauan yang tidak terbendung dek hati. 

Zafira adalah seorang wanita yang penuh sopan santun, pendiam dan pemalu. Tidak pernah sekali pun Zafira menegurnya sepanjang mereka sama-sama menuntut di sekolah Dang Wangi. Jauh sekali dia melihat Zafira berbual dengan mana-mana lelaki. Zafira bukanlah jenis wanita yang akan berbual dengan lelaki sewenang-wenangnya tanpa sebab. Kelembutan dan keayuan jelas terpancar di mukanya yang bersih. Sudah lama Ilham memerhatikan Zafira dari kejauhan. Zafira juga seorang yang serius. Diri Zafira yang penuh misteri itulah yang menarik minat Ilham untuk mendekati dan mengenalinya dengan lebih mendalam namun niatnya tidak kesampaian. Ilham kini berada di Universiti Adelaide, Australia. Kedatangannya hari ini membawa hasrat tulus yang sangat mendalam. Inilah hari yang dinanti-nantikan olehnya. Hari dimana Zafira tamat menuntut di sekolah Dang Wangi. Walaupun mereka terpisah dek sebab menuntut ilmu, hanya Zafira yang bertakhta di hatinya hingga kini. Biar seribu 'Britney Spears' yang datang, hanya Zafiralah satu-satunya wanita yang berjaya mencuit jiwa lelakinya. Oleh itu dia bertekad. Hari ini Zafira harus tahu isi hatinya!

Sekolah Dang Wangi dipenuhi dengan para waris yang baru tiba, menuju ke ruang dewan. Hari ini merupakan hari keputusan ujian peringkat 'O'. Puas sudah Ilham mencari Zafira di dewan sebaik tiba di sekolah namun hampa. Yang dilihat hanya guru-guru yang sibuk berbicara dengan para waris. Tinggallah dia keseorangan di lobi sekolah yang dahulunya menjadi tempat dia memerhatikan Zafira belajar sewaktu di perhimpunan pagi. Teringat dia akan senyuman Zafira yang terbentuk manis buat teman-temannya. Sabankali Ilham mencuri pandang senyuman yang menjadi igauannya itu. Resah di hati tidak dapat dibendung lagi. Serasa ingin menjerit sekuat hatinya memanggil Zafira. Rindu yang bersarang di dada terhadap Zafira selama 3 tahun menjerut tangkai hati. Sekali lagi dia meneliti sekitarannya dengan harapan Zafira belum pulang.

Alangkah gembiranya dia saat melihat Zafira menuruni anak tangga. Di sampingnya adalah Aza, temannya. Tanpa memikir panjang, Ilham yang ketika itu diselebungi kegembiraan terus menerpa ke arah Zafira. Sebaik sahaja berada di hadapan Zafira, dirinya terkedu. "Cis! Kanapalah aku begitu tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa memikir panjang akan akibatnya! Lihat itu, pasti Zafira terkejut dengan tindakanku! Hancurlah harapanku untuk meluahkan perasaanku terhadapnya!," bisik hati Ilham kesal.


Zafirah terkedu melihat seniornya yang kini tidak lagi bersekolah di situ berada di hadapannya. Pandangan mereka bertaut buat seketika. Zafira kembali sedar lalu menundukkan pandangannya sambil berkata dengan suara yang hampir tidak kedengaran,"Ya, ada apa yang boleh saya bantu, Ilham?"

Zafira berasa janggal membahasakan orang yang lebih tua darinya dengan nama sahaja namun apa pilihan yang dia ada? Masakan dia ingin membahasakan diri Ilham dengan 'abang Ilham' sedangkan mereka tidak pernah bertegur sapa sebelum ini? Nama Ilham itu pun diketahuinya dari teman-teman yang meminati seniornya itu. Mana tidaknya, Ilham merupakan pengawas di waktu itu. Dengan sifatnya yang peramah dan budi pekerti yang tinggi serta rupa ala-ala kacukan Arab dan Cina membuatkan dirinya popular di kalangan pelajar dan guru-guru. Bahkan dia juga muncul sebagai pelajar terbaik hampir setiap tahun. Dalam diam Zafira menyimpan perasaan terhadap seniornya. Namun dirinya tidak yakin akan perasaannya sendiri. Dia sedar siapa dirinya. Hanya anak seorang pemandu. Lagipula seboleh yang mungkin, dia ingin menjauhkan dirinya dari perasaan asing yang menyelebungi diri. Dia harap perasaan itu hilang buat selama-lamanya. Namun kedatangan Ilham semula pada hari itu telah menyemarakkan lagi perasaan yang selama ini tersimpan kemas di dada.

Lidah Ilham kelu untuk menutur kata. Sebagai tindakan refleks, Ilham terus berpaling ke arah Aza yang berdiri di sebelah Zafira. Perbuatan Ilham itu sedikit sebanyak telah mengguris hati kecil Zafira. Dengan riak muka yang cuba dikawal, Zafira meminta diri dari Aza. Sesungguhnya dia tidak faham akan rasa kurang enak yang dialami saat Ilham mengelakkan diri darinya. Walhal dia arif benar bahawa antara mereka tidak ada apa-apa hubungan istimewa pun. Malahan sepanjang Ilham berada di sekolah Dang Wangi, tidak pernah sekali pun Ilham menegurnya. Zafira hanya menyimpan angan-angan bahawa suatu hari nanti Ilham akan datang padanya. Mungkin disebabkan angan-angan itulah dirinya terkeliru antara realiti dan fantasi...


 Zafira mengorak langkah ke arah cikgu Raziah yang sedang sibuk menghiasi gerigi besi. Timbul di hatinya perasaan kasihan melihat cikgu itu terbongkok-bongkok melakukan tugas bersoarangan. Zafira pun mendekati cikgu lalu menghulurkan bantuan padanya.


Ilham yang sedari tadi berpura-pura sibuk berbual dengan Aza memerhatikan tindak-tanduk Zafira dari kejauhan. Dia tidak ambil pusing akan apa yang diterangkan Aza tentang kursus yang diambilnya. "Eh, takkan dia cemburu? Kalau ya, nampaknya ini adalah satu petanda baik buatku!" bisik hatinya. 


Diperhatikan kelakuan Zafira yang agak ganjil dari kebiasaan pada hari itu. Gadis yang bertudung litup itu sekali lagi mengukir senyuman yang boleh menggugurkan jantung setiap lelaki yang memandang. Senyuman yang tidak pernah dihadiahkan buat mana-mana lelaki. Hatinya bergetar hebat setiap kali terpandang akan senyuman empunya diri. Ilham akui. Dirinya sudah terlalu kasih akan gadis itu. Hinggakan ke mana sahaja dia pergi, bayangan gadis itulah yang akan muncul di mindanya. Kesopanannya melentur hati. Keayuannya menambat diri. Ilham yakin. Dialah satu-satunya puteri buat dirinya.

No comments:

Post a Comment

Simple reminder, mind your netiquette!

Enjoy your stay! (;